Friday, September 30, 2011

Lambaian Kaabah_30/9/2011

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LambaianKaabah_Penantianberakhir/Article/index_html

KELANA JAYA: Penantian sepasang suami isteri untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima akhirnya tercapai selepas hampir 12 tahun mengumpul wang hasil perniagaan kedai runcit diusahakan dan juga wang persaraan.

Siti Sahmah Abdul Jalal, 58, berkata dia dan suami, Tarmidi Sirat, 62, amat bersyukur kerana hasil jermat-cermat dan sentiasa beringat, mereka dapat mengerjakan ibadat haji pada tahun ini.


“Akhirnya, penantian kami berakhir selepas terpaksa berputih mata pada tahun lalu kerana hanya disenaraikan dalam senarai menunggu saja.

“Sebaik menerima surat daripada Tabung Haji memaklumkan nama saya dan suami tersenarai untuk menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci tahun ini, perasaan gembira dan seronok itu sukar digambarkan,” katanya berasal dari Klang.


Beliau antara jemaah haji kumpulan kedua (KT02), yang ditemui di Kompleks Haji Kelana Jaya, di sini, semalam.


Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, risau juga meninggalkan anak tersayang walaupun semuanya sudah dewasa tetapi atas dasar kepercayaan, dirinya yakin mereka mampu menjaga segala urusan rumah dengan baik.

Anaknya, Aminul Rasyid, 30, berkata ibu dan bapanya berpesan kepadanya supaya menjaga kedai runcit mereka dengan baik selain sentiasa berhubung bersama adik-beradik yang lain.


“Ibu berpesan agar kami empat beradik menjaga kesihatan dan sentiasa berbuat baik kepada semua orang.

“Pesanan itu pasti selalu diingati. Kami hanya berharap mereka dapat menunaikan ibadat Haji dengan sempurna dan akan selamat pergi dan juga pulang ke tanah air,” katanya.

No comments:

Post a Comment