Tuesday, March 6, 2012

UDA bina pusat peranginan di Pekan Pahang

UDA bina pusat peranginan di Pekan, jadi sebelum siap tinggal dulu kat homestay pekan pahang.

KUALA LUMPUR 15 Julai - Uda Holdings Bhd. (UDA) akan membina pusat peranginan bertaraf empat bintang bernilai RM87 juta di Kampung Peramu, Pekan, Pahang.

Pusat peranginan itu akan dikendalikan oleh anak syarikat UDA, UDA Ancasa Sdn. Bhd.

Pembinaan itu akan bermula Oktober ini dan dijangka siap pada penghujung 2012.

Pengerusi UDA, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pusat peranginan tersebut akan dibina di atas tanah berkeluasan 2.656 hektar yang dibeli daripada Majlis Daerah Pekan (MDP).

Menurutnya, pusat peranginan tujuh tingkat dengan 148 bilik deluxe dan 20 bilik bersaiz keluarga itu dilengkapi dengan kemudahan restoran, dewan serbaguna dan kolam renang.

"Turut dibina ialah sebuah jeti bersebelahan Sungai Pahang dan dewan bankuet yang boleh memuatkan sehingga 750 tetamu pada satu-satu masa," katanya pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) perjanjian jual beli tanah antara UDA dan MDP di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan UDA, Datuk Jaafar Abu Hassan dan Yang Dipertua MDP, Datuk Abdul Basik Mohd. Sah.

Jelas Nur Jazlan, projek itu merupakan tanggungjawab sosial syarikatnya dalam membantu pembangunan di kawasan Pekan yang terkenal sebagai kawasan industri automotif di Malaysia.

"Dengan terbinanya pusat peranginan ini, orang ramai lebih mudah untuk datang dan menginap di Pekan. Pada masa yang sama ia mampu menjadikan Pekan sebagai pusat tarikan pelancong yang baru," ujarnya.

Pada masa sama, Jaafar yakin pembinaan resort itu akan membawa pulangan kepada UDA dan bukan tujuan pembangunan semata-mata.

Sumber : www.utusan.com.my